UCAPAN GULUNG OLEH YB TUAN WONG HON WAI – EXCO Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan di Dewan Undang Negeri Pulau Pinang pada 28 Julai 2008
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Pada mulanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini kerana memberikan pelbagai cadangan atau kritikan, saya amat menghargai input-input daripada semua Yang Berhormat demi mempertingkatkan lagi kualiti hidup rakyat negeri Pulau Pinang.
DASAR PERUMAHAN
YB ADUN Tanjong Bungah, YB ADUN Permatang Pasir, YB ADUN Pantai Jerejak, YB ADUN Pinang Tunggal dan YB ADUN Teluk Air Tawar telah bangkitkan mengenai dasar perumahan, sasaran satu keluarga satu rumah dan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi. Pemilik tanah persendirian, khasnya tanah first grade, adalah bebas untuk menentukan jenis pembangunan atas tanah sendiri, tertakluk pematuhan kepada Rancangan Struktur dan Tempatan, dasar dan garis panduan perancangan yang sedia ada. Walau bagaimanapun bagi pemajuan perumahan yang melibatkan pembinaan lebih daripada 150 unit di pusat pembangunan dan 100 unit di luar pusat pembangunan akan dikenakan syarat pembinaan 30% rumah kos rendah. Sehingga Jun 2008, rekod Bahagian Perumahan menunjukkan sejumlah 90,895 unit rumah kos rendah dan 18,990 unit rumah kos sederhana rendah yang telah disiapkan di Pulau Pinang. Walau bagaimanapun masih terdapat 48,031 pemohon dalam senarai tawaran dan senarai menunggu tetapi ianya tidak bermakna mereka tidak ditawarkan rumah. Sebahagian besar iaitu 36,457 orang adalah dalam senarai tawaran iaitu pernah ditawarkan rumah manakala sebahagian dalam senarai menunggu iaitu 11,574 orang. Terdapat pemohon-pemohon yang telah ditawarkan melebihi 3 kali tetapi menolak tawaran atas alasan-alasan seperti lokasi yang tidak disukai, bebanan kewangan atau sudah membeli rumah yang lain.
Pada tahun 2007, usaha telah dijalankan untuk mengemaskini maklumat pemohon supaya lebih tepat dan kemaskini tetapi sambutan tidak menggalakkan. Kerajaan negeri akan mencari kaedah-kaedah baru bagi memastikan tawaran rumah kepada pemohon supaya lebih tepat, adil dan telus.
Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk menampung permintaan, khususnya dari golongan berpendapatan rendah.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, dua projek perumahan rakyat (PPR) telah dipohon dan sebelum ini dipersetujui secara prinsip untuk dilaksanakan di Ladang Kaledonia, SPS dan Teluk Kumbar, DBD. Jabatan Perumahan Negara telah membuat beberapa lawatan ke tapak kedua-dua projek, yang terakhirnya pada 4 Julai 2008 ke tapak di Teluk Kumbar. Walau bagaimanapun sehingga kini keputusan muktamad mengenai kelulusan projek belum diperolehi. Semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan pada 26 Jun 2008, YAB Perdana Menteri telah mengatakan, dengan izin ” Suka saya menegaskan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan di kesemua negeri. Projek mesra rakyat yang bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan awam kos rendah, membasmi kemiskinan dan keselamatan awam
akan diberi keutamaan.” Sepertimana dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri. maka kerajaan persekutuan diharap akan terus membantu untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan perumahan untuk penduduk Pulau Pinang. Kerajaan negeri akan memberi segala kerjasama yang perlu kepada kerajaan persekutuan bagi menjayakan projek-projek.
PROJEK LAVENDAR PARK
YB ADUN KOMTAR telah bangkitkan tentang bayaran tambahan yang dikenakan oleh pemaju Genuine Galaxy Sdn Bhd bagi projeknya, Lavender Park atau yang kini dikenali sebagai Taman Sinar Pelangi, di Jelutong. Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapat pemaju-pemaju termasuk Syarikat Genuine Galaxy yang menjualkan petak letak kereta atau menawarkan pakej pengubahsuaian kepada pembeli rumah. Mengikut garis panduan perancangan yang sedia ada, pemaju perlu menyediakan 1 tempat letak kereta bagi 4 unit rumah kos rendah dan 3 tempat letak kereta untuk 5 unit rumah kos sederhana rendah. Di samping itu pemaju perlu menyediakan 10-20% tempat letak kereta untuk pelawat. Walau bagaimanapun tidak ada peruntukan undang-undang yang menghalang pemaju daripada menjual tempat letak kereta yang disediakan sebagai petak aksesori. Terdapat pemaju yang menyediakan tempat letak kereta secara percuma dan ada yang menjual tempat letak kereta antara RM4,000 hingga RM25,000 bagi satu petak. Pada masa ini pemaju hanya disarankan supaya penjualan tempat letak kereta dan pakej pengubahsuaian dibuat secara sukarela. Pembeli tidak boleh dipaksa untuk menerima pakej yang ditawarkan. Kerajaan negeri pernah menimbangkan untuk menjadikan tempat letak kereta yang disyaratkan disediakan sebagai kawasan harta bersama (common property) akan tetapi cadangan ini perlu dihalusi. Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan REHDA mengenai masalah-masalah ini. Isu penaklukan kerja-kerja pengubahsuaian oleh pertubuhan gelap juga akan dibawa untuk perbincangan lanjut dan dirujuk untuk siasatan pihak Polis sekiranya maklumat penuh diperolehi.
MASALAH SETINGGAN
YB ADUN Tg Bungah, YB ADUN Batu Uban dan YB ADUN Pantai Jerejak telah menyuarakan mengenai setinggan yang ditindas dan diarah keluar daripada tanah yang diduduki. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri mempunyai Dasar Setinggan yang digunakan untuk penempatan semula setinggan yang terlibat dengan projek-projek kerajaan negeri. Rumah ganti atau wang ehsan dibayar mengikut status, sama ada pemilik tanah, penyewa tapak (ground tenant), pemegang lesen pendudukan sementara (TOL), penumpang tapak (tenant at will), setinggan (menduduki tanah tanpa kebenaran) atau penyewa rumah. Pada dasarnya terdapat pemaju-pemaju yang menggunakan dasar kerajaan negeri sebagai panduan dalam memberi wang ehsan atau unit ganti kepada setinggan, malah ada yang memberi tawaran yang lebih baik daripada yang digunakan oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri memang bersetuju dengan dasar untuk memindahkan setinggan yang ada ke perumahan yang lebih baik dan selesa. Program diharap akan dapat dijalankan dengan kerjasama semua pihak dan berpandukan peruntukan undang-undang. Kerajaan negeri akan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kepentingan penduduk, namun bayaran wang ehsan atau pemberian unit ganti hendaklah berlandaskan asas atau kriteria yang munasabah dan adil kepada semua pihak. Ianya juga membawa kepada peningkatan kos untuk pemajuan projek di Pulau Pinang yang akhirnya akan ditanggung oleh pembeli-pembeli rumah. Dalam agihan rumah-rumah kos rendah dan sederhana rendah oleh kerajaan negeri, keutamaan memang diberi kepada setinggan-setinggan yang terlibat dengan projek, sama ada projek kerajaan atau swasta.
PROJEK TERBENGKALAI
YB ADUN Batu Uban telah bangkitkan mengenai pelaksanaan dasar bina kemudian jual dan masalah projek terbengkalai. Walaupun dasar bina kemudian jual telah diperkenalkan pada tahun 2007 dan pelbagai insentif disediakan, namun sambutan daripada pihak pemaju masih amat dingin. Pemaju yang dapat menjalankan projek melalui kaedah ini hanyalah mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Kaedah ini juga digunakan untuk projek-projek kerajaan.
Berhubung projek terbengkalai, YB ADUN Batu Uban telah mencadangkan, antara lain, moratorium ke atas faedah bank dan pengeluaran dua sijil iaitu daripada arkitek dan pihak bank sebelum bayaran kemajuan dilepaskan oleh bank. Untuk makluman, Kerajaan Negeri memang memainkan peranan sebagai pihak pengantara bagi membantu memulihkan projek-projek bermasalah atau terbengkalai. Langkah-langkah yang diambil termasuk memanggil semua pihak iaitu pemaju, syarikat penyelamat, bank pembiaya, wakil penduduk, kontraktor, agensi teknikal, liquidator dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk berbincang, menyegerakan proses pertimbangan pelan dan memberi pengecualian sumbangan. Terdapat juga kes-kes di mana bank-bank tertentu telah bersetuju dan meluluskan moratorium faedah. Bank Negara juga memainkan peranan untuk memanggil bank-bank untuk perbincangan. Walau bagaimanapun sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, pelesenan dan kawalan pemaju adalah terletak dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dalam pindaan terakhir kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) pada akhir tahun 2007, beberapa kelemahan yang ada telah diketatkan bagi melindungi pembeli rumah. Cadangan-cadangan Ahli Yang Berhormat akan dibawa untuk perbincangan dengan kerajaan persekutuan. Di peringkat negeri, kerajaan negeri akan meningkatkan lagi pemantauan pelaksanaan projek, khususnya projek mampu milik, supaya masalah-masalah dapat dikenalpasti lebih awal dan bantuan diberi untuk menyelesaikannya.
PROJEK PERUMAHAN AWAM KOS RENDAH (PAKR) KG BESAR DAN PADANG CHEMPEDAK
YB ADUN Permatang Berangan telah menyoalkan tentang status projek perumahan Kampung Besar dan Padang Chempedak. PAKR Kg Besar terdiri daripada 429 unit rumah teres kos rendah di Mukim 12, SPU dan PAKR Padang Chempedak terdiri daripada 435 unit rumah teres kos rendah di Mukim 13, SPU. Rumah dibina dengan pinjaman kerajaan persekutuan dan agensi pelaksana ialah Jabatan Perumahan Negara. Kedua-dua projek tersebut baru saja memperolehi Sijil Layak Menduduki iaitu PAKR Kg Besar pada 27 Jun 2008 dan PAKR Padang Chempedak pada 16 Julai 2008. Projek-projek ini lewat mendapat OC disebabkan masalah-masalah infrastruktur dan kegagalan kontraktor memenuhi keperluan jabatan teknikal, khasnya penyediaan loji rawatan pembetungan mengikut spesifikasi IWK/JPP. Jabatan Perumahan Negara dijangkakan akan menyerah projek-projek tersebut kepada Kerajaan Negeri pada awal bulan Ogos. Rumah akan diserah kepada pembeli setelah perjanjian jual beli ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan pembeli.
PERANAN PDC
YB Ahli Paya Terubong telah bangkitkan tentang peranan PDC dalam membantu pembangunan negeri dan penyediaan rumah mampu milik. Untuk makluman, bagi projek Bayan Mutiara, PDC disyaratkan membina 30% rumah kos rendah atau 612 unit yang sedang dalam pembinaan di Sungai Nibong, bersebelahan Taman Lip Sin. Tambahan 300 unit rumah kos sederhana rendah juga disediakan di tapak Bayan Mutiara yang kini dalam peringkat perancangan.
Kerajaan negeri akan melihat kembali peranan PDC supaya, dari aspek perumahan, keutamaan diberi untuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik atas tanah-tanah PDC dan tanah kerajaan negeri.
BOMBA
YB Komtar telah membangkitkan pertanyaan kebakaran di Penn Mart Toys (M) Sdn Bhd, Jalan Penang pada 17 Jun 2008.
(a) Jabatan telah menghantar 5 buah jentera – 1 dari Lebuh pantai, 3 dari Jalan Perak dan 1 dari Bagan Jermal ke lokasi kebakaran dan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Ayer Itam.
(b) Pegawai yang terlibat dalam menjawab panggilan telah disoal siasat dan diberi amaran atas sikap tidak professional dalam memberikan perkhidmatan yang tidak selaras dengan kehendak pejabat.
(b) Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan siasatan dalaman dan akan menggunakan ini sebagai satu study case sebagai rujukan bagi penambahbaikan gerak kerja operasi pemadaman kebakaran pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment